Ajak sokong BN, Omar Osman didesak letak jawatan

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Tindakan Presiden  Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Dato' Omar Osman menyeru kakitangan awam menyokong BN dilihat sebagai tidak profesional dalam menjalankan fungsi sebagai pengemudi Cuepacs.

 

Sehubungan itu Ahli Parlimen Jerai, Mohd  Firdaus Jaafar mendesak Omar melepaskan jawatannya itu berikutan pendirian yang bias dan meletakkan kakitangan awam dalam tekanan berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Bercakap kepada Harakah hari ini, Mohd Firdaus menegaskan, selaku badan yang bertanggugjawab menjadi perantara kakitangan awam dengan kerajaan dan rakyat,  Cuepacs tidak sepatutnya bias kepada mana-mana pihak.

Walaupun Omar Osman mahu menyokong mana-mana parti sekalipun, kata Firdaus, Presiden Cuepacs itu tidak harus  menjadi alat untuk menghasut kakitangan awam menyokong BN.

"Sepatutnya Omar menggalakkan beri kebebasan kepada penjawat awam dan memperjuangkan tuntutan kakitangan awam pada tahap maksima," katanya.

Beliau berkata demikian hari ini ketika mengulas kenyataan Omar dalam laporan Utusan Malaysia semalam  yang dilaporkan antara lainmenyeru kakitangan awam menyokong BN.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, Omar tidak harus dilihat menjadi alat menghalang penjawat awam untuk menyokong mana-mana parti pilihan mereka.

Dalam masa yang sama, Firdaus mencabar Omar memperjuangkan isu kebajikan membabitkan kakitangan awam khasnya membabitkan isu 13,000 kakitangan kontrak yang tidak diserapkan ke jawatan tetap.

Kata Mohd Firdaus, kakitangan awam tidak rugi jika memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU-13 kerana gabungan ini dalam manifestonya yang dilancar baru-baru ini mengumumkan beberapa tawaran menarik buat kakitangan awam khasnya mengkaji beberapa aspek kebajikan  dalam mempastikan beban kerja yang dilakukan kakitangan awam setimpal dengan ganjaran.

Beliau sekali lagi mengulangi desakan agar Omar melepaskan jawatan segera, selain bertanggungjawab ke atas kenyataannya itu./sumber - Harakah-Cetak.

 

Additional information