Najib dicabar arah siasat kekayaan Taib Mahmud
SEGAMAT, 27 Februari : Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak agar mengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan berkaitan untuk menyiasat dakwaan kekayaan yang dimiliki Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Kit Siang megutarakan cabaran itu selepas laporan menyatakan, Najib telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International (TI) dalam kempen anti-rasuah.
Katanya, kehadiran Taib ketika Najib menandatangani ikrar itu juga meletakkan Malaysia dalam perhatian kempen anti-rasuah antarabangsa.
Beberapa badan anti rasuah dunia mula memfokuskan isu rasuah di Malaysia selepas dakwaan NGO berpengkalan di Swiss Bruno Manser Fund (BMF), September lalu yang menjangka aset keluarga Taib Mahmud berjumlah USD21 bilion (RM64 billion), dan kekayaan Taib saja berjumlah USD15 bilion (RM46 bilion) selepas 30 tahun memegang jawatan itu.
Kit Siang berkata demikian semasa cemarah Jelajah Treler Ubah yang dianjurkan DAP di Kampung Abdullah, Segamat serta Pengiraan Detik 44 Hari ke PRU-13, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, Najib perlu melaksanakan iltizam dan serius menjadikan 'Ikrar Integriti Pilihan Raya' itu lebih bermakna.
Selain itu, Najin harus menerima cadangan menambah 10 mata untuk memastikan negara memasuki era baru integriti dan urus tadbir yang baik.
Beliau mencadangkan penambahan 10 mata kepada ikrar itu untuk menjadikannya dokumen bermakna termasuk lima mata bagi pengisytiharan aset oleh semua menteri, timbalan menteri, ketua menteri dan menteri besar.
Selain itu Najib digesa agar berikrar untuk tidak membiarkan politik wang berleluasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Kit Siang mencadangkan agar setiap ringgit perbelanjaan untuk PRU-13 baik oleh calon atau parti politik mesti diakaun dan diaudit.
Katanya lagi, penandatangan berikrar tidak akan membangkitkan momokan 13 Mei atau menggunakan politik menakut-nakutkan, mengugut atau membenci pengundi.
Seterusnya, iltizam penandatangan supaya pilihan raya diadakan secara bebas, adil dan bersih yang dipantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain membabitkan pemerhati dalam dan luar negara.
Katanya lagi, penandatangan juga berikrar untuk menerima keputusan pengundi dalam PRU-13 dengan meminta mereka komited terhadap peralihan kuasa di Putrajaya sekiranya itu kehendak pengundi.
“Saya tidak terkejut walaupun tiada jawapan atau respon daripada Najib, Kabinet atau Umno-BN terhadap cadangan saya di Kuching, semalam supaya disertakan 10 mata tambahan kepada Ikrar Integriti Pilihan Raya TI bagi memastikan era baru integriti dan tadbir urus baik, bukan sekadar aksi publisiti tidak berkesan terhadap kualiti integriti dan tadbir urus baik kerajaan akan datang," ujarnya.
Menurut Kit Siang, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah menandatangani ikrar itu sebelum Najib menandatanganinya Rabu lalu.
“Saya juga mahu menandatangani ikrar itu tetapi mahu ia menjadi tindakan yang bermakna, bukannya sia-sia," katanya agi.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sebelum berceramah beliau sempat meneliti di internet siapakah pemimpin paling korup di dunia.
"Untuk rantau ASEAN, dua nama lebih menonjol iaitu Suharto dan Marcos, seiring dengan “pemimpin paling korup di dunia” seperti Mobutu Sese Seko dari Zaire, yang mengumpul kekayaan melebihi USD5 bilion sementara negaranya semakin dihimpit kemiskinan dan Sani Abacha dari Nigeria yang keluarganya dianggap organisasi jenayah yang mengumpul kekayaan dianggarkan antara US$3 dan USD4 bilion.
"Siapa yang boleh lupa Marcos atau isterinya, Imelda yang mempunyai 2,500 pasang kasut. Dilaporkan ketika Marcos meninggalkan Filipina, ejen Kastam Amerika Syarikat menjumpai 24 beg bimbit berisi jongkong emas dan berlian yang tersembunyi dalam beg tangan serta sijil emas bernilai berbilion dolar," katanya.
Katanya lagi, Marcos mencuri USD5 bilion hingga USD10 bilion daripada tabung awam dan membawanya ke Amerika Syarikat, Switzerland dan negara lain ketika lari meninggalkan Filipina selepas rakyat Filipina bangkit menentang authoritarian, korupsi, tekanan politik dan pelanggaran hak asasi manusia.
Sementara Suharto mempunyai penghormatan buruk sebagai jaguh kumpulan rasuah sepanjang zaman, kerana Transparency International menggambarkannya sebagai pemimpin nombor satu paling korup di dunia.
Suharto mengumpul kekayaan antara USD15 hingga USD35 bilion sepanjang 31 tahun menjadi Presiden Indonesia.
Sekiranya Suharto atau Marcos menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya sewaktu di puncak kuasa, adakah ia akan memperhebat atau mencemarkan ikrar itu?” katanya.- ?sumber Roketkini.com
