Tiada pengumuman bubar DUN waktu terdekat - Khalid
SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan untuk tidak membuat sebarang pengumuman tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor buat masa ini.
Beliau memaklumkan, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira insiden pencerobohan di Lahad Datu.
“Oleh yang demikian, tidak ada pengumuman yang akan dibuat berhubung pilihan raya negeri,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Konsep Reka Bentuk Jambatan Ketiga Klang, di sini, semalam.
Sebelum ini, kerajaan negeri mencadangkan pembubaran Dun Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei iaitu pada 10 Februari 2013 kerana merasakan sudah sampai masa untuk rakyat memberikan mandat baru dan memilih kerajaan dalam pilihan raya.
Abdul Khalid sebelum ini juga berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiada halangan dan bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri bagi pembubaran Dun Selangor untuk diadakan pilihan raya apabila tiba masanya./WNWY
