Bas Merdeka Rakyat dibaling batu, Anwar kena serpihan kaca
BUKIT KATIL : Berpuluh-puluh samseng Umno BN bertindak liar dengan melontar batu ke arah bas Jelajah Merdeka Rakyat, selain menyerbu tapak ceramah di Kampong Bukit Katil di sini, malam tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, empat cermin bas yang dinaiki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pecah dibaling batu.
Lebih menyedihkan, Ketua Umum PKR itu juga terkena serpihan kaca.
"Alhamdulillah – selamat. Hanya serpihan kaca. Serangan samseng Umno di depan polis,” tulisnya pada twitter tidak lama kemudian.
Bagaimanapun, seorang pengawal keselamatan Anwar cedera di mata selepas terkena serpihan cermin manakala seorang lelaki lain, kepalanya berlumuran darah akibat dibaling batu.
Selain membaling batu, samseng Umno-BN yang kebanyakannya memakai kemeja-T biru berlogo BN, turut menunjukkan isyarat lucah dan menghambur kata-kata kesat.
Mereka dipercayai terpengaruh dengan ucapan berbaur hasutan pemimpin Umno di ceramah berdekatan.
Sekalipun pasukan polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di tapak ceramah, kumpulan samseng Umno tetap bertindak ganas, malah merempuh benteng.
Anwar ketika berucap kemudian mengecam perbuatan kumpulan samseng berkenaan dan menyifatkan Umno-BN gagal mencerminkan budaya politik sihat di negara ini.-/WNWY
