Rakyat perlu jadi pendesak pulihkan kebebasan media
KUALA LUMPUR : Rakyat perlu memainkan peranan penting sebagai kumpulan pendesak utama bagi memastikan liputan media adil dan saksama tidak hanya menjelang pilihan raya umum.
Sebaliknya, media harus mempraktikan laporan yang saksama dan adil sebagai medium maklumat bebas kepada semua setiap masa.
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), Anthony Loke Siew Foke, berkata melalui desakan rakyat, parti politik dan masyarakat sivil, akan wujud sedikit perubahan dalam peranan media negara ini.
Perubahan dapat dilihat melalui 'trend' laporan akhbar yang memberi laporan neutral dan bebas seperti Sinar Harian selain wujud banyak siri debat isu semasa yang disiarkan secara langsung.
“Di sini kita tidak boleh menafikan peranan Bersih yang berjaya menggerakkan massa rakyat menuntut reformasi pilihan raya dalam negara ini melalui beberapa tuntutan antaranya kebebasan media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan topik Peranan Media dan Masyarakat Sivik pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 di Malaysia, di Kelab Taman Perdana Diraja Kuala Lumpur, 5 Mac.
Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, perubahan yang berlaku dalam peranan media di Malaysia lebih menonjol setelah parti pembangkang bergabung membentuk Pakatan Rakyat (PR).
Katanya lagi, pada Pilihan Raya Umum tahun 2004, parti pembangkang tidak bersatu dan menyebabkan BN menang besar.
Tambahnya, pada ketika itu pembangkang hanya hadir ke Parlimen dengan hanya 20 Ahli Parlimen.
Kemudian katanya, pada tahun 2005, 2006, berlaku banyak perubahan dalam parti pembangkang di mana lebih banyak kerjasama dilakukan dengan kumpulan masyarakat sivil berlandaskan kepentingan bersama.
Akhinra pada tahun 2007, wujud Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) yang memomentumkan himpunan berskala besar menuju ke Istana Negara.
Ketika itu, semua parti pembangkang dan NGO terbabit menyerahkan memorandum Bersih yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong ketika itu.
Memorandum itu adalah tuntutan supaya pilihan raya di negara ini dijalankan dengan bersih, adil dan telus membabitkan kebebasan media
Apa yang berlaku selepas itu, SPR memanjangkan tempoh kempen pilihan raya daripada 10 hari kepada 13 hari dan ia memberi beberapa signifikan dan kelebihan kepada parti politik yang bertanding.
Disebabkan sokongan kuat rakyat kata Loke, Pakatan Rakyat dan masyarakat sivil dalam himpunan Bersih 2011, kerajaan menubuhkan PSC di mana banyak mesyuarat dan pendengaran awam berjaya diadakan.
Menurut Loke, antara usul yang dibincangkan dalam PSC ialah akses kepada media yang lebih adil diberi kepada parti politik.
“Akhirnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan bahawa mereka bersedia memberi akses yang adil. Tetapi sehingga kini ia tidak berlaku sepertimana yang dimahukan,” katanya.-WNWY
